Aluan PPD

Assalamualaikum wbt.
Dengan segala kerendahan diri saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana memberikan ruang dan kekuatan kepada saya menitip kata alu-aluan untuk Laman sesawang Rasmi PPD Marang yang baharu. Kalungan syabas dan tahniah kepada Unit ICT yang telah berjaya menggarap dan menzahirkan Laman Web ini. Usaha tulus lagi murni amatlah saya hargai dan disanjung tinggi.

Dengan terbinanya laman interaktif ini, Pejabat Pendidikan Daerah Marang telah melangkah setapak lagi ke era teknologi maklumat. Sarana maya yang berskala besar ini memberikan sejuta erti untuk warga pendidikan di daerah Marang khususnya kerana di dalamnya termuat pelbagai informasi dan ilmu bermanfaat yang telah dimuat naik untuk dikongsi bersama. Selain itu laman web ini dapat membantu pihak sekolah untuk berhubung antara satu sama lain.

Saya juga berharap agar laman web rasmi yang baharu ini akan mampu menjadikan semua aktiviti dan program lebih komprehensif dan sistematik sekali gus mempercepat transformasi pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Marang yang lebih efektif terutama dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama.
Saya menyeru kepada semua pegawai, penyelia dan kumpulan pelaksana dan warga pendidikan di daerah Marang agar menjadikan portal ini sebagai wahana atau saluran berkolaboratif dan penyampai maklumat yang berkesan serta terkini dalam menjalankan tugas harian.

Pada kesempatan ini juga saya ingin berkongsi serba sedikit tentang slogan keramat PPD Marang iaitu “Fokus Kecemerlangan Akademik”. Besarlah harapan saya agar slogan ini dapat kita tunjangkan di dalam sanubari ke arah memartabatkan daerah Marang sebaris dengan daerah-daerah lain dalam peperiksaan awam di persada negeri Terengganu Anjung Ilmu malah di medan pendidikan negara kita. Untuk target awal, saya menyasarkan tempat pertama hingga ketiga dalam UPSR dan SPM kerana dalam peperiksaan STPM daerah Marang sudah berada pada tempat kedua. Jika kita semua istiqamah, penuh iltizam dalam melaksanakan tugas dan tidak mengenal erti jemu, insya-Allah tiada yang mustahil untuk digapai.

Fokus Kecemerlangan Akademik ini kita utarakan lantaran daerah kerdil ini sentiasa terkebelakang dalam bidang akademik meskipun kita cukup ampuh dan cemerlang dalam aktiviti –aktiviti kokurikulum. Fokus Kecemerlangan akademik yang digarap ini menjadikan Falsafah Pendidikan Negara sebagai asas di samping dirujuki Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(Anjakan ke-6 PPPM iaitu Mengupaya JPN, PPD dan Sekolah) .Transformasi Terengganu Baharu (Prinsip ke-8) dan Memperkasakan Transformasi Pendidikan(Tag line JPNT) serta Anjakan ke-6 PPPM iaitu Mengupaya JPN, PPD dan Sekolah.

Akhirulkalam, marilah sama-sama kita menyusun langkah sederap, bahu-membahu untuk kecemerlangan pendidikan daerah Marang dengan menjaga hubungan dengan Allah dan dengan insan. Manfaatkanlah laman web rasmi PPD Marang 2016 ini dengan semaksimum mungkin. Fokus Kecemerlangan Akademik.
Sekian,terima kasih.