Sejarah

Pejabat Pendidikan Daerah Marang merupakan unit pentadbiran pendidikan di peringkat daerah yang diketuai oleh seorang Pegawai Pendidikan Daerah Gred DG 52. Pejabat Pendidikan Daerah ditubuhkan sebagai agen desentralisasi jabatan dan merupakan satu strategi untuk mencapai matlamat kualitif dan kuantitatif dalam pendidikan di peringkat daerah. Antara fungsi Pejabat Pendidikan Daerah ialah:

  • Pengurusan kurikulum dan kokurikulum di peringkat daerah.
  • Pemantauan pelaksanaan dan pentafsiran dasar pendidikan serta peraturan-peraturan berkaitan dan membantu menyelesaikan masalah yang timbul daripada pelaksanaan dan pentafsiran tersebut.
  • Pengurusan personal di peringkat daerah.
  • Mengatur kedudukan staf.
  • Merancang, mengelola, memantau dan menilai semua program atau aktiviti pendidikan di peringkat daerah.
  • Perhubungan awam.

Pejabat Pendidikan Daerah Marang merupakan Pejabat Pendidikan Daerah terakhir bagi negeri Terengganu yang telah diisytiharkan penubuhannya oleh Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui surat KP(PP)0051/20 Jld.4/(58) bertarikh 29 Mac 2006 bersamaan 29 Safar 1427 H. Dengan kelulusan penubuhannya oleh Agensi Pusat mulai 1 Mac 2006 maka dangan secara langsung daerah Marang terpisah dari induknya iaitu Pejabat Pendidikan Daerah Dungun/Marang.

Bangunan pentadbirannya menumpang di Sekolah Kebangsaan Marang yang terletak di tengah-tengah Bandar Marang. Peringkat awal Pejabat Pendidikan Daerah Marang merupakan sebuah cawangan di bawah pentadbiran PPD Dungun/Marang yang mula beroperasi pada 15 Februari 1987 dan menumpang di PSPN Terengganu yang sekarang dikenali Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu. PPD cawangan ini ditadbir urus oleh dua orang pegawai yang dipinjamkan dari sekolah. Akibat dari perkembangan dan perluasan fungsi PSPN maka berlaku ketidak cukupan bilik untuk menempatkan pegawai-pegawai di PSPN, maka PPD cawangan Marang terpaksa berpindah dan menyewa sebuah premis dua tingkat di kampung Rhu Rendang. Akibat daripada kerencaman bidang tugas, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah menempatkan enam orang pegawai dan empat orang staf yang dipinjamkan dari beberapa buah sekolah berhampiran untuk bertugas di PPD cawangan.

Akibat daripada pertambahan pegawai dan kekurangan bilik yang sesuai di premis berkenaan, maka jabatan telah mengambil keputusan untuk menempatkan PPD cawangan di bangunan separuh kekal yang baru dibina di Sekolah Kebangsaan Marang.

Dua buah bangunan baru separuh kekal dibina dan beberapa pengubahsuaian telah dilakukan bersesuaian dengan pertambahan jumlah pegawai. Perkembangan pesat bidang pelajaran di daerah Marang, telah membawa kepada penubuhan pusat pentadbirannya tersendiri berpisah daripada induknya bermula pada 1 Mac 2006. Usaha sedang giat dilakukan bagi membolehkan PPD Marang mendapat bangunannya yang tersendiri selaras dengan Pejabat Pendidikan Daerah yang lain di negeri Terengganu.

Terdapat tujuh buah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, iaitu Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Pejabat PendidikanDaerah Setiu, Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah Marang.